Sunday, November 24, 2019

30. KENAPA MANUSIA MENIPU

Sifat menipu merupakan sifat yang tidak baik untuk kita amalkan kerana boleh memberi kesan bukan sahaja kepada kita tetapi juga kepada orang lain. Terdapat beberapa sebab kenapa manusia sanggup menipu, antaranya adalah seperti berikut:

1) Takut Kena Marah

Kita suka menipu kerana takut kena marah. Murid sekolah menipu takut dimarahi gurunya. Anak menipu kerana takut dimarahi ibubapanya. Suami menipu takut dimarahi isteri. Pekerja menipu takut dimarahi ketuanya. 


2) Takut Kena Pukul

Kita menipu kerana takut kena pukul. Anak menipu kerana takut dipukul bapanya. Murid sekolah menipu kerana takut dipukul gurunya. Isteri menipu kerana takut dipukul suaminya. Pencuri menipu kerana takut dipukul oleh orang yuang menangkapnya. 


3) Takut Terasa Malu

Kita menipu kerana takut mendapat malu. Remaja menipu kerana takut terasa malu dengan rakan-rakan. Ketua menipu kerana takut terasa malu dengan pekerjanya. Penceramah menipu kerana takut terasa malu dengan pendengarnya.


4) Takut Tidak Dipilih

Kita menipu takut tidak dipilih. Wakil rakyat menipu takut rakyat tidak memilihnya. Pengerusi menipu takut ahli-ahli tidak memilihnya. Pemuda menipu kerana takut kekasih tidak memilihnya.


Menipu adalah adalah perkara yang mudah untuk dilafazkan tetapi kesannya besar kepada pihak yang terlibat. Walau pun berkata benar itu pahit tetapi adalah lebih baik untuk diri kita, keluarga dan masyarakat.

29. LANGIT TIDAK SELALU CERAH

Sebut bola ingat Brazil. Sebut Brazil ingat bola.

Kuat dan harumnya nama Brazil kerana bola. 

Tanggal 9 Julai 2014 merupakan detik bersejarah dalam bidang bolasepak bukan sahaja menjadi kejutan terbesar kepada peminatnya di Brazil tetapi juga di seluruh dunia. Brazil dimalukan oleh Jerman 1-7 dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014 di hadapan penontonya sendiri. 

Banyak penonton dan peminatnya menangis sedih dan mereka seolah-olah tidak percaya dengan dengan apa yang berlaku di depan mata mereka.

Realiti kehidupan, kita tidak selalunya berada di atas kerana pada bila-bila masa sahaja kedudukan kita boleh berubah walaupun nama kita begitu harum.




26. BOLASEPAK PIALA DUNIA 2014

Majoriti masyarakat dunia meminati piala dunia. Masing-masing mempunyai pasukan pilihan. Brazil, Argentina, Germany, Spanyol, Perancis, England dan Italy merupakan pasukan yang memiliki ramai peminat.

Spanyol, Italy dan England bernasib malang kali ini kerana belum pun habis pusingan pertama terpaksa pulang ke kampung halaman.

Waktu siaran perlawanan di Malaysia bermula antara pukul 12.00 am hingga 6.00 am. Peminat akan memastikan setiap perlawanan yang melibatkan pasukan pilihannya dapat ditonton sama ada pukul 12.00am, 4.00am atau 6.00am. Kadangkala terlena sebelum perlawanan tamat seperti kata setengah orang, bukan dia tengok TV tetapi TV tengok dia.

Di Malaysia, orang Islam mempunyai cara tersendiri selepas perlawanan tamat yang hampir dengan waktu Subuh. Antaranya,

a. Mereka menunggu dan bersolat sendiri kemudian tidur sebentar sementara pergi kerja

b. Mereka menunggu dan bersolat di masjid atau surau kemudian bersiap-siap untuk pergi kerja.

c. Mereka terus tidur, bangun, mandi dan bersolat kemudian pergi kerja.

d. Mereka terus tidur, bangun, mandi dan terus pergi kerja tanpa bersolat.

e. Mereka terus tidur dan bangun pukul 12.00pm.

Kita sendiri yang membuat pilihan. Pilih yang baik akan membuahkan hasil yang baik dan begitu juga di sebaliknya.

25. KEWAJIPAN PARA HAKIM

Tugas hakim untuk mendengar hujah daripada kedua2 pihak iaitu yang mendakwa dan yang kena dakwa. Ia perlu menjatuhkan hukuman sama ada bersalah atau tidak dengan seadil-adilnya. 

Firman Allah swt,

"Dan jika kamu menghukum antara manusia hendaklah kamu hukum dengan seadil-adilnya" (An-Nisaa: ayat 58)

Hakim perlu mencari dan mengetahui kebenaran sebelum menjatuhkan hukuman agar hukuman yang dijatuhkan itu merupakan kebenaran.

Sabda Nabi Muhammad SAW, 

"Hakim itu ada tiga: seorang di syurga, dan dua orang di neraka, yang seorang, ia mengetahui kebenaran dan memutuskan dengan kebenaran tersebut (ia layak mendapat syurga). Orang mengetahui kebenaran, tapi ia melanggarnya dalam memutuskan hukum. Kerana itu ia mendapat neraka. Dan orang dengan kebodohannya , menetapkan hukum untuk manusia (sehingga menjadi salah dalam menetapkannya), maka ia dapat neraka”. (HR. Abu Dawud).

Saturday, November 23, 2019

24. MINTA MENJADI KETUA

Sesetengah orang percaya dengan menjadi ketua bermakna dia akan dipandang tinggi dan mulia lantas hidupnya menjadi bahagia. Di atas kepercayaan itu dia akan menanamkan cita-cita untuk menjadi seorang ketua. Dia akan membuat pelbagai strategi sama ada positif atau negatif bg mencapai apa yg dicita-ctakan itu.

Setiap kali berdoa dia akan meminta atau memohon agar dia boleh menjadi ketua. Jika ada pesaing, dia akan mencari utk mengatasinya dengan pelbagai strategi supaya pesaingnya tidak terpilih menjadi ketua. 

Orang yang berperangai sedemikian rupa adalah tersilap langkah dan tindakan. Kebahagiaan yang difikirkannya jika berjaya menjadi ketua hanyalah merupakan andaian dan tanggapan dirinya sendiri shj. Bahkan jika kita berjaya pun, bukan kebahagiaan yg kita dapat tetapi bebanan kerja dan tanggungjawab yg tidak terpikul oleh kita. 

Rasulullah bersabda, "Hai Abdurrahman! Jangan kamu minta untuk menjadi ketua, kerana kalau kamu diberinya padahal kamu tidak minta, maka kamu akan diberi pertolongan, tetapi jika kamu diberinya itu lantaran minta, maka kamu akan dibebaninya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

23. LIMA PERKARA UNTUK PESARA

Oleh: Rich Von Voigt



Saya telah bersara selama lebih 15 tahun, dan sama sekali tidak menyesal bersara awal. Saya berkhidmat selama 30 tahun dengan dua jabatan dan telah berjaya berkhidmat dengan baik.


Profesion itu sangat mencabar tetapi banyak memberi pengajaran berguna kepada saya. Kami pakai uniform warna biru, kelabu, hijau dan coklat - pakaian seragam setiap gaya, dengan reka bentuk yang berbeza pada lencana kami.

Ia adalah satu profesion seperti yang lain juga. Jadi apa yang berlaku kepada kita apabila kita memisahkan daripada profesion itu dan kembali semula ke dalam kehidupan awam?

Bagi saya, peralihan itu mudah. Saya telah lakukan sewaktu berusia 51 tahun - penat mengejar pangkat dan penat dengan setiap perubahan. Saya sedar hanya masa untuk saya bertindak melakukan sesuatu yang terbaik.

Saya mencuba pelbagai kerja sehinggalah saya menemui pekerjaan yang sesuai dengan saya. Saya pernah cuba menjadi petani untuk seketika.

Bagi sesetengah orang, persaraan boleh membuat anda merasa sendirian. Anda bukan lagi berada dalam satu organisasi besar. Anda hanya bersendirian sebagai orang awam.

Ramai di antara kita masih bersikap seperti penguatkuasa walaupun sudah di alam persaraan. Kita masih terbawa-bawa seperti masih bertugas dengan naluri pengawasan dan mahu melakukan apa yang betul jika berlaku sesuatu perkara di depan mata.

Anda harus tahu perbezaannya, anda tidak lagi mempunyai gigi untuk menggigit.

Lima perkara untuk anda ingati:

1 - Rileks dan santai! Nikmatilah udara nyaman dan segar anugerah Tuhan setiap hari.

2 - Buat pilihan yang bijak. Tidak melibatkan diri dan keluarga anda dengan perkara remeh dan tidak berfaedah.

3 - Ingat anda bukan lagi ada kuasa seperti sebelum anda bersara. Anda bukan lagi penguatkuasa walaupun anda pernah memegang tugas itu. Jangan beritahu orang ramai bahawa siapakah anda pada suatu masa dahulu.

4 - Anda tidak mempunyai jabatan sokongan, tidak ada peguam pembela untuk membantu anda. Anda hanya seorang diri. Jika anda betindak seperti sewaktu anda bertugas bererti anda berhadapan dengan risiko yang besar.

5 - Jika anda mendapati diri anda dalam situasi cemas seperti seorang perompak meminta semua pelanggan bank termasuk anda untuk meniarap, patuhilah arahan mereka kerana tindakan anda itu boleh menyelamatkan nyawa anda. Jangan cuba melawan mereka kerana anda sudah tidak ada pistol lagi.

Selain daripada itu carilah hobi sepertii memancing, bermain golf atau menunggang motosikal.

Anda telah memperoleh hak untuk berehat dengan tenang.

Anda mungkin berasa bersendirian, tetapi anda telah menyertai barisan ribuan orang yang sedang menikmati kehidupan bahagia, perkara bermanfaat ini sedang saya lakukan. Rupanya saya bukan bersendirian tetapi berada dalam lingkungan masyarakat yang lebih besar dengan cara saya sendiri.

Kehidupan menjadi baik jika anda belajar bagaimana untuk memisahkan diri dari profesion itu. Nikmatilah!....


Apr 1, 2015

22. AMANAH

Firman Allah swt,

Sesungguhnya Allah memerintahkan kalian untuk menunaikan amanah-amanah kepada pemiliknya; dan apabila kalian menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kalian menetapkan hukum dengan adil. (An-Nisa: 58)


Firman Allah swt,

Sesungguhnya Kami menawarkan amanah kepada syurga, bumi dan gunung-gunung, dan mereka menolak untuk menanggungnya dan takut; tetapi manusia (berusaha)  menanggungnya. Sesungguhnya manusia itu tidak adil dan jahil. (Al-Ahzab: 72)

21. SOLAT TANDA TERIMA KASIH

Kenapa kita selaku orang Islam diwajibkan bersolat fardu lima kali sehari. Jawapannya adalah kerana:

a) Adalah rukun Islam yang kedua.  Kita tidak menjadi orang beriman jika kita tidak melakukan atau meninggalkannya.

b) Merupakan tiang agama. Runtuhlah Islam kita apabila perkara utama atau asas telah runtuh.

c) Bersolat merupakan kewajipan utama kita dan tidak boleh tidak kita wajib menunaikannya.

d) Solat adalah doa. Berdoalah kepada Allah ketika bersolat. Doa ketika bersolat sangat mujarab untuk kita amalkan. 

Selain daripada sebab di atas ada lagi satu sebab penting kenapa kita perlu bersolat iaitu sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah kerana telah mengizinkan kita dihidup dan dilahirkan di muka bumi ini.





20. HARAPAN KEPADA TUHAN BUKAN MANUSIA



Manusia memiliki sifat yang serba kekurangan. Sejak dari dilahirkan lagi kita sangat bergantung harapan kepada Allah dan manusia. Allah memberi kita kesihatan untuk sepanjang kita dibesarkan. Ibu, selaku manusia menjaga kita dengan penuh perasaan kasih sayang. Bapa pula, terus mencari nafkah untuk memastikan kita dapat dibesar dan menempuh kehidupan dengan sebaik mungkin.






Meletakkan harapan kepada Allah menjadikan hidup anda lebih bahagia bukan shaja di dunia tetapi juga di akhirat. Sebaliknya jika anda meletakkan harapan kepada manusia anda mungkin mendapat kebahagiaan atau kesenangan tetapi ia tidak kekal lama kerana akhirnya anda akan kecewa atau merana.




19. SYABAS THE RED WARRIORS

Tahun lepas dalam ruangan Cetusan Minda saya telah mengulas tentang pasukan Kelantan ketika menentang Terengganu pada 14 Oktober 2011 bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dan The Red Warriors Kelantan (TRW) kalah secara agregat 3-5 kepada pasukan Terengganu dalam peringkat suku akhir Piala Malaysia 2011.

Saya memberi pandangan melalui blog saya pada tahun 2010 kepada kepada KAFA jika ingin terus melihat pasukan Kelantan maju jaya pada masa depan hendaklah memastikan semua pemain bermain secara profesional bukan lagi emosional dan perlu bijak dalam melihat percaturan pihak lawan.

Saya dan seluruh peminat TRW ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemain-pemain Kelantan bukan sahaja kerana memenangi perlawanan menentang Selangor pada 29 Jun 2012 di di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV tetapi kerana kejayaan para pemain dapat mengawal emosi mereka dengan cukup baik dan sangat cool. 

Kelantan berjaya menumpaskan Selangor1-0 dan sekali gus menjadi pendahulu Liga Super 2012. Apa yang menarik perhatian penonton ialah tentang corak permainan Selangor yang begitu agresif dan pemain Kelantan, Mohd Ghaddar sering menjadi mangsa. 

Dua pengulas Astro memberi komen bahawa permainan tersebut dicemari dengan beberapa insiden kekasaran dan kekasaran itu kebanyakannya dilakukan oleh pemain-pemain Selangor. 

Teringat saya suatu masa dulu, pemain-pemain Kelantan sering bertindak kasar namun sekarang sudah terbalik.

Mulanya saya terasa juga kerisauan sekiranya ada pemain Kelantan akan bertindak balas kerana sebelum ini Daudsu agak emosional setiap kali beraksi tetapi malam tadi Daudsu sangat berbeza dan sekalung tahniah diucapkan kepadanya kerana berjaya mengawal emosi dan bertindak profesional.

Apa yang menarik kita tentang sikap yang ditunjuk oleh pemain import Kelantan, Mohd Ghaddar. Ia merupakan pemain yang boleh dijadikan contoh oleh pemain-pemain Malaysia. Ghaddar bukan sahaja bertindak sebagai seorang yang begitu profesional dalam mengawal perasaan tetapi sangat penyabar. Ini terbukti dari apa yang terjadi ke atas dirinya malam tadi. Beliau bukan sahaja dikasari dan dipukul curi oleh seorang pemain tetapi oleh lebih daripada lima orang pemain Selangor berdasarkan rakaman perlawanan secara langsung oleh Astro. Namun Ghaddar tetap tenang walaupun setiap kali ia dikasari dan dapat dilihat beliau mengerang kesakitan.

Semoga TRW terus kekal dengan sikap tersebut dan ini selaras dengan hasrat KAFA untuk menjadikan pasukan Kelantan sebagai sebuah pasukan bolasepak yang kuat di Asia. Juga tahniah kepada KAFA dan Tan Sri Annuar Musa.


18. SEKELUARGA MASUK ISLAM


Lapan saudara baru memeluk Islam (dari kiri) Teh Chai Kok, Pang Chon Siong, Lau Sook Lee, Pang Yun Ang, Teng Hie King, Alex Chua Kim Soon serta dua anaknya Chua Tsim Yee (baju merah jambu) dan Crystal Chua Tsim Rho pada Majlis Pengislaman Saudara Baru Islam di Surau Agib Kampung Telok Mawar, Bukit Katil, Melaka, semalam. - BERNAMA

MELAKA 21 April - Sejak enam tahun lalu, Alex Chua Kim Soon sering terlihat kalimah Allah pada pokok dan juga di langit sebelum dia terdorong untuk mempelajari tentang Islam dan akhirnya menganuti agama tersebut hari ini.

Ahli perniagaan berusia 37 tahun itu yang kini mengguna nama Iskandar Abdullah, berkata, dia amat bersyukur kerana hasratnya untuk memeluk Islam sejak berbelas-belas tahun dahulu akhirnya tercapai jua.

''Semuanya bermula selepas saya memohon kepada Tuhan supaya diberikan petunjuk selepas merasakan seperti ada yang kurang lengkap di dalam hidup ini. (Utusan Malaysia 22/04/2012)

Kita berharap mereka sekeluarga masuk Islam (bukan masuk Melayu) dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Insya Allah.

17. ROBOT KAWAL PENJARA

SEOUL 26 Nov. - Sebuah penjara di bandar Pohang, timur Korea Selatan merancang untuk menggunakan robot bagi memantau banduan, sekali gus dapat meringankan beban warden penjara mengawal keselamatan.

Buat permulaan, tempoh percubaan selama tiga bulan akan dilakukan bagi melihat keberkesanan penggunaan robot tersebut. Menurut penyelidik, mesin setinggi 1.5 meter yang dibangunkan Forum Asia untuk Hukuman itu akan memantau kelakuan luar biasa banduan-banduan.

Robot empat roda yang dilengkapi kamera dan sensor itu mampu mengesan perbuatan berisiko banduan seperti cubaan mencetuskan keganasan atau membunuh.

Profesor Lee Baik-Chu dari Universiti Kyonggi yang mengetuai pembangunan robot itu berkata, mesin tersebut akan memberikan isyarat kepada manusia sekiranya ia mengesan masalah. "Kita hampir melengkapkan sistem operasinya. Kami sedang melakukan kerja-kerja akhir bagi memastikan robot ini nampak lebih mesra banduan," katanya kepada agensi berita Yonhap.

Kos percubaan menggunakan robot itu selama sebulan melibatkan perbelanjaan 1 bilion won (RM2.7 juta) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Ini merupakan projek terbaru Korea Selatan dalam usaha muncul sebagai sebuah negara robotik dunia. - Agensi

(Utusan Malaysia)

16. PENGORBANAN DALAM NOVEL KELUARGA GERILYA

Dalam novel sejarah yang amat popular dari Indonesia bertajuk Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer mengisahkan keluarga Saaman di zaman revolusi Indonesia terpaksa berkorban segala-galanya seperti dirinya dan keluarga demi memperjuangkan kemerdekaan negaranya Indonesia daripada penjajah Belanda.

Sewaktu ditahan di penjara, Saaman berkata kepada ketua penjara berbangsa Belanda,

"Revolusi menghendaki segala-galanya... menghendaki korban yang dipilihnya sendiri. Demikian hebatnya revolusi. Kemanusiaanku kukorbankan. Dan sekarang ini... jiwa dan ragaku sendiri. Demikianlah paksaan yang kupaksakan pada diriku sendiri. Kupaksa diriku menjalani kekejaman dan pembunuhan agar orang yang ada di bumi yang kuinjak ini tak perlu lagi berbuat seperti itu... agar mereka itu dengan langsung bisa menikmati kemanusiaan dan kemerdekaan."

Begitulah juga jika anda lihat bagaimana ibu atau bapa anda yang bekerja setiap hari untuk mendapatkan pendapatan agar anda dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik. Bukan semua mereka bekerja di tempat yang selamat. Setengahnya berdepan dengan pekerjaan yang berbahaya dan berisiko tinggi termasuk berdepan dengan maut. Bayangkanlah jika bapa anda bekerja sebagai pekerja binaan. Ia terpaksa berada di atas puncak bumbung setinggi ratusan tingkat demi menyiapkan sebuah bangunan pencakar langit!

Tuesday, November 19, 2019

15. JUMLAH PENDUDUK DUNIA 31/10/2011

On 31 October 2011, the world population reached seven billion.

                   Year             Population
                   1000             275 million
                   1500             450 million
                   1750             700 million
                   1850             1.2 billion
                   1900             1.6 billion
                   1950             2.55 billion
                   1960             3 billion
                   1970             3.7 billion
                   1980             4.5 billion
                   1990             5.3 billion
                   1999             6 billion
                   2009             6.8 billion
                   2011             7 billion
                   2025             8 billion
                   2043             9 billion
                   2083             10 billion

The top ten most populated countries in the world:

1)  China                1,339,724,852  (November 1, 2010)
2)  India                 1,210,193,422  (March 1, 2011)
3)  United States     312,560,000     (November 6, 2011)
4)  Indonesia           237,641,326     (May 1, 2010)
5)  Brazil                190,755,799     (August 1, 2010)
6)  Pakistan            177,734,000     (November 6, 2011)
7)  Nigeria             162,471,000      (July 1, 2011)
8)  Russia               142,914,136     (January 1, 2011)
9)  Bangladesh        142,319,000     (March 15, 2011)
10) Japan              127,720,000      (October 1, 2011)

14. YUE YUE

Seorang pengutip sampah perempuan di Foshan, China, pada 13 Oktober 2011 ketika sedang berjalan di sebuah jalan raya telah ternampak seorang kanak-kanak perempuan, Yue Yue, berumur dua tahun sedang terbaring berlumuran dengan darah akibat dilanggar dan digilis sebanyak dua kali oleh dua buah van. Ia terus mengangkat Yue Yue dan sejurus kemudian diambil oleh emaknya untuk dibawa ke hospital.

Setelah beberapa hari tinggal di hospital akhirnya Yue Yue meninggal dunia akibat beberapa organnya tidak dapat berfungsi. Kejadian menyayat hati itu dirakam melalui CCTV dan disalurkan menerusi Twitter dan Facebook.

Apa yang menarik perhatian masyarakat dunia ialah tentang sikap yang ditunjukkan oleh pengutip sampah yang tidak membiarkan Yue Yue daripada hancur digilis oleh kenderaan yang lain pula. Sebelum Yue Yue diangkat terdapat 18 orang yang lalu di situ dan melihat Yue Yue tetapi tidak seorang pun yang sanggup mengangkatnya kecuali pengutip sampah yang merupakan orang yang ke-19.

Yue Yue sedang diangkat oleh pengutip sampah



Pengutip sampah bukanlah orang yang berada dan berkedudukan. Hidupnya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tiada anak-anak kecil yang bercita-cita mahu menjadi pengutip sampah apabila besar nanti. Akan tetapi walau pun dia miskin namun hatinya tetap kaya dan mulia. Allah tidak sekali memandang seseorang kerana kedudukan atau harta kekayaan yang ia miliki tetapi ia dinilai kerana sikapnya  yang berperi kemanusiaan, kasih sayang, bantu membantu, bertaqwa dan beriman.

Monday, November 18, 2019

13. JERRY RICE


Tetapi saya merasakan bahawa sebahagian besar daripada kita di dunia hari ini memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi kita.
(Paul Hoffman)

Seorang pemain American football yang sangat popular di USA ialah Jerry Rice. Semasa mula-mula beliau terlibat dengan pasukannya beliau dihendaki oleh jurulatihnya menjalani latihan yang lasak setiap hari iaitu berlari menaiki bukit yang rendah (50 meter) sebanyak 20 kali pergi-balik sejauh kira-kira 1 kilometer.

Sepanjang masa latihan beliau pernah merasakan tidak tahan dengan cara tersebut dan pulang ke rumahnya untuk tidak meneruskannya lagi. Ketika di rumah beliau terfikir bahawa jika beliau mengutamakan pasukannya beliau perlu meneruskan latihan lasak itu walaupun berdepan dengan keletihan dan kepenatan. Lantas beliau menukar fikirannya dan menuju semula ke bukit itu untuk meneruskan latihan. Corak latihan lasak ini tidak mampu dilakukan oleh pemain-pemain sepasukannya yang lain.

Akhirnya beliau menjadi seorang pemain American football yang sangat terkenal kerana banyak membantu pasukannya dalam memenangi perlawanan yang diadakan.

Anda perlu tahu perkara mana yang lebih utama dan kurang. Kejayaan atau kegagalan anda dalam menentukan keutamaan boleh memberi kesan kepada diri anda seperti anda mungkin akan menjadi seorang yang berjaya dan dihormati atau gagal dan kecewa. Dalam kes di atas, Jerry Rice mungkin tidak menjadi seorang yang berjaya dan popular jika ia tidak meletakkan keutamaan kepada pasukannya tetapi meletakkan kepentingan peribadinya seperti memilih untuk tidak meneruskan larian lasak mendaki bukit akibat kepenatan. Akan tetapi disebabkan beliau memberi keutamaan kepada pasukannya akhirnya beliau berjaya mencipta nama sebagai pemain American fooball yang terkenal.

Anda pasti akan berdepan dengan beberapa pilihan pada setiap hari. Jika anda merupakan seorang pekerja mungkin anda akan berdepan dengan pilihan untuk melakukan beberapa perkara dalam masa yang terhad seperti:

a) menyiapkan tugas yang penting atau kurang penting

b) membuat kerja rasmi atau peribadi

c) menyemak dokumen organisasi atau peribadi 

d) menggunakan internet untuk menyelesaikan masalah organisasi atau peribadi

e) bertugas di luar kawasan atas kepentingan organisasi atau peribadi

f) menghadiri mesyuarat di pejabat yang penting atau di luar yang kurang penting

g) minum di kantin yang disediakan oleh organisasi atau di luar

h) banyak berbincang hal pejabat atau hal peribadi semasa waktu pejabat

Oleh itu sekiranya anda berdepan dengan beberapa pilihan seperti di atas atau lain-lain anda hendaklah membuat pilihan yang lebih utama kerana ia akan membantu anda untuk menjadi seorang pekerja atau insan yang bertanggungjawab, jujur dan ikhlas.

 

12. SELALU SINGGAH DI MASJID

Suatu hari dalam bulan September 2011, ketika berada di Johor Bahru saya sempat makan bersama beberapa staf penjara di Restoran Singgah Selalu, Danga Bay. Semasa sedang makan, Amin menceritakan kepada kami bahawa setiap kali ia pulang ke kampungnya di Masjid Tanah Melaka ia mesti menjengah atau singgah di rumah Pak Longnya kerana ia sangat terhutang budi kepadanya. Semenjak kecil hinggalah ke universiti selain daripada ibubapanya, Pak Longlah orang yang selalu membantunya termasuk memberinya wang dan keperluan sekolah.

Disebabkan terhutang budi itulah Amin selalu ingat pada Pak Long dan akan singgah di rumahnya setiap kali ia pulang ke kampung.

Di sini marilah kita renung bersama. Berapa banyakkan budi dan rahmat yang Allah Yang Maha Esa berikan kepada kita. Jika budi Pak Long itu kita boleh ukurkan tetapi rahmat Allah tidak terhitung banyaknya. Sudah berapa kali kita ditimpa sakit dan pelbagaipenyakit sejak dari kecil sehingga sekarang dan dengan rahmatNya jua kita sentiasa diberi kesembuhan daripada penyakit tersebut. Cuba bayangkan jika sakit dan terus sakit dan tidak dapat disembuhkan. Pastinya meranalah hidup kita. Itulah kebesaran Allah yang sentiasa memberi rahmat kepada kita.

Apakah harus kita lakukan sebagai tanda kesyukuran kita kepadaNya? Jika dengan sedikit pertolongan Pak Long kepada Amin, kita sudah menjengah dan sanggup singgah ke rumahnya setiap kali balik kampung maka kenapakah kita tidak sanggup untuk menjengah atau singgah ke Rumah Allah yakni masjid atau surau setiap kali masuk waktu solat fardu lima kali sehari semalam. Setiap waktu yang kita singgah bukanlah mengambil masa yang lama sangat, paling lama 20 minit.

Jika kita singgah di Rumah Allah (tunaikan solat fardu), bukan setakat kita ingin menunaikan kewajipan sebagai seorang insan tetapi kita pula diberi pahala sebanyak 27 kali ganda berbanding jika kita bersolat di rumah.

Oleh itu sebagai tanda kesyukuran kepada Allah marilah kita sama-sama menjengah atau singgah Rumah Allah untuk menunaikan solat fardu lima waktu. Kita hanya menjalankan kewajiban untuk bersolat jemaah dan ingat, soal ganjaran pahala biarlah Allah sahaja yang akan menentukannya.

11. SENARAI SEMAK PEMIMPIN


Untuk menjadi seorang pemimpin bukanlah mudah dan untuk melaksanakan tanggungjawabnya lagi sukar. Contohnya:

a) Menjadi bapa - betapa besarnya tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya.

b) Menjadi guru - betapa besarnya tanggungjawab terhadap murid-muridnya.

c) Menjadi doktor - betapa besarnya tanggungjawab terhadap pesakit-pesakitnya.

d) Menjadi jurutera - betapa besarnya tanggungjawab terhadap sesuatu projek.

e) Menjadi pemeritah - betapa besarnya tanggungjawab terhadap rakyat.

f) Menjadi ketua - betapa besarnya tanggungjawab terhadap pekerja-pekerja.

Sama ada anda merupakan seorang pemimpin yang kecil, sederhana atau tinggi anda tetap bertanggungjawab dan berkewajipan untuk melaksanakan segala amanah yang diberi dengan sebaik mungkin. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab tersebut menyebabkan anda akan menerima balasan yang setimpal sama ada di dunia atau akhirat. Pemimpin yang baik akan mendapat balasan yang baik daripada Allah dan begitu juga sebaliknya.

Apabila anda sudah menjadi pemimpin anda perlu menambahkan ilmu kepimpinan melalui pengalaman, bacaan, ceramah, kursus, bengkel dan seminar. Bagi memastikan diri anda benar-benar merupakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab sebaiknya anda mempunyai senarai semak atau checklist yang perlu anda jadikan sebagai panduan dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang pemimpin. Senarai semak ini adalah berupa pertanyaan terhadap diri anda sendiri. Antaranya ialah:

a) Adakah aku amanah

b) Adakah aku adil

c) Adakah aku bersih

d) Adakah aku jujur

e) Adakah aku ikhlas

f) Adakah aku penyabar

g) Adakah aku pemarah

h) Adakah aku bertolak ansur

i) Adakah aku rajin

j) Adakah aku komited

k) Adakah aku pendendam

l) Adakah aku pendengki

m) Adakah aku pengumpat

n) Adakah aku penfitnah

o) Adakah aku emosional

p) Adakah aku profesional

q) Adakah aku mementingkan diri sendiri

r) Adakah aku zalim

s) Adakah aku penganiaya

t) Adakah aku pembimbing

u) Adakah aku perihatin

v) Adakah aku bermuka-muka

w) Adakah aku bersifat kawan makan kawan

x) Adakah aku suka membuat maksiat

y) Adakah aku takut pada Allah

z) Adakah aku lupa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja

Menilai dan menilai diri akan memberi banyak kebaikan terhadap diri kita sendiri.

10. DOA UNTUK ORANG ZALIM

Keharusan berdoa kepada orang yang dizalimi supaya ditimpakan laknat dan musibah kepada orang yang zalim. Ia berdasarkan alasan berikut:


1. Sabda Rasulullah saw :


اتقوا دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجاب
[Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab - halangan -] (ibnu Hibban)


2. Terlebih dahulu lihatlah kutukan laknat dari Allah swt mengenai orang yang berlaku zalim biarpun ia mengaku muslim malah mendirikan sembahyang. Lihat sahaja bagaimana firman Allah swt di dalam surah al Maa'un ayat 4 hingga ayat 7 :


فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون و يمنعون الماعون
[Maka celakalah bagi orang yang mendirikan sembahyang namun lalai di dalam sembahyangnya , orang - orang yang riya' dalam amalannya dan mereka yang menghalang rezeki - barang bermanafaat dari sampai kepada pihak yang selayaknya]


3. Bahasa apa lagi yang boleh digunakan oleh golongan tertindas melainkan hanyalah mengadu kepada Tuhannya yang Maha Adil lagi Maha Mendengar doa hambaNya yang terainaya. Doa adalah senjata orang yang beriman terutama saat mereka kehabisan ikhtiar dan tiada pilihan lagi. الدعاء سلاح المؤمن ]


4. Adapun langkah menyebut nama di dalam doa sebenarnya tidaklah bercanggah dengan sunnah bahkan Nabi saw pernah menyebut nama-nama mereka yang menentang dan menzalimi baginda saw dan ummat Islam. Nabi saw saat hiba mengenang perbuatan Quraisy [Uqbah bin Abi Mu'it] yang meletakkan najis di atas belakangnya sewaktu sujud dihadapan Kaabah, sejurus dibersihkan jasad Baginda saw oleh Fatimah radhiallahuanha, Rasulullah saw berdoa


اللهم عليك بقريش
Ya Allah! Aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Quraisy [sebanyak 3 kali]


5. Sebaik mendengar doa ini, penduduk Quraisy yang tadinya ketawa besar melihat keadaan Muhamad saw tiba-tiba terdiam kerana takutkan doa tersebut. lalu Nabi saw menyambung doanya :


اللهم عليك بأبي جهل بن هشام و عتبة بن ربيعة و شيبة ين ربيعة و الوبيد بن عتبة و أمية بن خلف و عقبة بن أبي معيط


Ya Allah! Aku serahkan kepadaMU urusan untuk membinasakan Abi jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabia'h, Syaibah bin Rabia'h, al Walid bin Utbah, Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't.


Ibnu Masu'd bersumpah: Demi Allah yang diriku berada didalam genggamanNya, kesemua nama yang disebut itu terbunuh didalam peperangan Badar. Sirah Ibnu Ishaq


6. Dalam Quran Surah al Lahab. Allah swt telah berfirman maksudnya :


تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (١) مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ (٢) سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ (٣) وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ (٤) فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ (٥)


Celakalah Kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. kelak dia akan masuk ke dalam api yang membara. Dan begitu pula isterinya, pembawa kayu api yang dilehernya ada tali dari sabut.


7. Selayaknya orang yang dizalimi bersabar dan bermunajat kepada Allah swt. Allah adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Allah tidak akan mensia-siakan doa hambaNya yang menderita dan sengsara angkara kezaliman


(Artikel ini ditulis oleh: Aminuddin Ruskam 08/12/2009)



9. PERIHAL FITNAH

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu baerita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

8. FITNAH MEBERI KESAN NEGATIF

Fitnah Beri Kesan Negatif dan Kongkong Jiwa Merdeka
(Sapora Sipon 27/8/2011)

DALAM negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54, satu bentuk amalan yang semakin kuat dijajah adalah penyakit suka memfitnah. Budaya memfitnah termasuk di alam maya seperti blog semakin menjadi tidak terkawal dan jika dibiarkan berterusan, banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat akan berlaku. 

Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu (2002), fitnah dapat diertikan sebagai tuduhan jahat yang diada-adakan atau yang dibuat. Ia juga dapat diertikan sebagai umpatan, gunjing ataupun celaan dan pesona. Manakala memfitnah diertikan sebagai memburuk-burukkan orang lain di belakang.

Budaya fitnah walaupun berlaku di mana-mana, tetapi lebih signifikan dalam budaya politik. Ini tidak menghairankan kerana senario fitnah memfitnah bukan saja berlaku di negara ini. Musuh-musuh bekas Presiden hebat Amerika Syarikat, Abraham Lincoln menyebarkan berita liar mengenai karakter dan juga kehidupan peribadinya. Apa yang paling membimbangkan ialah budaya fitnah memfitnah dalam politik negara berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan sehingga menzahirkan rasa muak rakyat jelata.

Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Fitnah berlaku akibat pelbagai faktor. Di dalam politik, antara punca berlaku fitnah ialah kerana perbezaan fahaman sehingga pemimpin difitnah dengan perkara yang tidak sepatutnya. Selain itu pemimpin difitnah untuk pembunuhan karakter. Pembunuhan karakter adalah usaha untuk mencemar nama baik atau reputasi seseorang. 

Budaya fitnah untuk merosakkan nama baik seseorang dilakukan melalui pernyataan yang tidak benar, melebih-lebihkan atau manipulasi fakta dengan bertujuan untuk memberikan satu persepsi atau citra yang tidak benar tentang orang yang difitnah. Pembunuhan karakter mengakibatkan reputasi mangsa menjadi rusuk di mata awam. 

Menabur fitnah juga adalah satu perang psikologi ke atas lawan. Serangan ke atas karakter atau pemikiran secara berterusan, tersusun dan terancang dengan baik yang dilakukan boleh saja membinasakan masa hadapan mangsa. Budaya fitnah bertambah liar apabila tempoh pilihan raya semakin dekat. 

Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Kesan yang lebih buruk akan membawa kepada sikap tidak percaya dan kepercayaan yang tidak benar mengenai sesuatu isu atau individu. 

Kesan fitnah terhadap masyarakat boleh meruntuhkan institusi sosial. Dalam konteks bangsa, sentimen perkauman boleh timbul dan menyebabkan huru-hara serta kadangkala boleh berlaku peperangan. 

Keadaan ini boleh membantutkan sebarang usaha positif ke arah perdamaian. Sentimen ragu-meragui antara satu sama lain juga boleh timbul walaupun setelah berlaku perdamaian. Fitnah membawa kesan negatif sehingga boleh menumpahkan darah. 

Tentunya amat bermakna sekali jika setiap individu dapat memerdekakan diri daripada sikap suka memfitnah. Ini kerana amalan fitnah membawa kehancuran dan malapetaka kepada keharmonian negara. Dalam konteks negara Malaysia yang aman makmur, pelakuan fitnah tidak boleh dijadikan satu amalan atas nama perpaduan, kebenaran dan keadilan. Budaya fitnah memfitnah benar-benar mengongkong jiwa merdeka.

Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia 

(BERITA HARIAN 27/08/11)

7. HADIAH ATAU SUMBANGAN

Jangan beri hamper sebagai rasuah - SPRM


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan rakyat di negara ini agar tidak terlibat dalam pemberian atau penerimaan hamper untuk tujuan rasuah, khususnya ketika musim perayaan sekarang.

Kecenderungan untuk memberi atau menerima hadiah seperti hamper sering terjadi atas alasan pemberian kepada sahabat atau kenalan.

Menurut kenyataan SPRM, meskipun pemberian hadiah itu hanya bertujuan mengeratkan persahabatan, penjawat awam perlu akur kepada peraturan sedia ada mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998.

"Pegawai-pegawai perkhidmatan awam dinasihatkan agar tidak menerima sebarang hadiah yang berunsur rasuah atau diketahui diberi secara rasuah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perkara berkaitan dengan urusan rasmi.

"Mana-mana orang yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan dengan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009," kata kenyataan itu.


(UTUSAN MALAYSIA)

6. MUTIARA KATA

Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji.

Mahkota kemanusiaan ialah rendah hati.

Musibah dalam harta lebih ringan daripada musibah dalam kehormatan.

Jangan sesekali menyalahkan kesilapan diri sendiri kepada orang lain kerana orang yang tidak mengakui kelemahan diri sukar untuk berjaya.

Sesetengah orang menggunakan jam yang murah. Jam seperti ini tidak boleh diharap.

Orang yang meminta-minta kepada Tuhan tidak akan kecewa.

Harta tidak akan berkurang kerana sedekah dan melakukan amal

Barangsiapa memusuhi orang yang di bawahnya, hilang kewibawaannya.

Yang memimpin wanita bukan akalnya, melainkan hatinya.

Kecemerlangan sebenar adalah apabila anda dihentam sehingga bertekuk lutut, tetapi mampu melantun kembali.

Rahsia untuk berjaya ialah menghormati orang lain.

Amat mudah untuk memadamkan api yang sedang marak, tetapi sukar untuk meredakan api kemarahan dalam diri.

Emas diuji dengan api, wanita diuji dengan emas dan lelaki diuji dengan wanita.

Orang yang berbohong itu sentiasa ingin melarikan diri sedangkan tiada seorang pun yang mengejarnya namun orang yang benar itu berani seperti singa -Goethe

Kemarahan tidak boleh berumur panjang di dada seorang yang berhati baik, kebaikan tidak boleh berakar di hati seseorang yang berdasar buruk

Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.

Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam hal apa saja, asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang dilakukan.


Jangan mengukur kebijaksanaan seseorang hanya kerana kepandaiannya berkata-kata tetapi juga perlu dinilai buah fikiran serta tingkah lakunya.

Barangsiapa menyebarluaskan berita-berita kekejian yang didengarnya, maka dia seperti pelakunya.

Kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan kepada usaha yang besar.

Lebih baik tidur dengan perut yang lapar daripada bangun tidur dengan banyak hutang -Anonim.


Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya yang celaka ialah jahil.

Apabila bicara itu perak, diam adalah emas.


Orang-orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki hal-hal terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap hal yang hadir dalam hidupnya.

Fikirkan permusuhan kita akan dimusuhi, fikirkan kebencian, kita akan dibenci. Tetapi sekiranya kita fikirkan kasih maka kita akan dikasihi. Ini adalah undang-undang alam. Kita menjadi seperti apa yang kita fikirkan.

Dalam kepala kaum wanita ada kekurangan, tetapi dalam hati mereka ada kelebihan.

Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan. – Peribahasa Arab

Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula bercakap kosong.

Menyimpang seinci, rugi seribu batu. – Peribahasa Cina

Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya.

Sebuah kebenaran kadangkala mengandungi kesilapan.

Orang yang paling mampu menguasai dirinya ialah yang paling mampu menguasai rahsianya.

Adalah tidak mustahil orang yang paling kita benci sekarang adalah kawan karib kita suatu waktu dahulu.

Menyesal tidak berbicara lebih baik daripada menyesal berbicara.

30. KENAPA MANUSIA MENIPU

Sifat menipu merupakan sifat yang tidak baik untuk kita amalkan kerana boleh memberi kesan bukan sahaja kepada kita tetapi juga kepada ora...